27.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

CENTHRA gesa kerajaan mansuh undang-undang tindas hak asasi

Mesti Baca

SEBUAH pertubuhan hak asasi menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang yang menindas hak asasi manusia kerana langkah tersebut sejajar dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, selain itu mekanisme yang teguh bagi melindungi pejuang hak asasi kemanusiaan juga perlu segera dibentuk untuk memastikan keselamatan dan autonomi mereka.

Beliau berkata, pertubuhan masyarakat sivil tempatan dan luar negara perlu memainkan peranan masing-masing dalam mendesak kerajaan dalam perjuangan menuntut perubahan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melibatkan diri secara konstruktif dengan organisasi ini dan membuang kebimbangan mereka bagi mencapai perbincangan yang bermakna.

“Hakisan ruang sivik di Malaysia seperti yang dilaporkan dan tindakan keras yang diambil terhadap kebebasan asasi menuntut tindakan segera daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akta Perhimpunan Aman digunakan bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat negara ini. – Gambar hiasan

Azril mengulas laporan CIVICUS Monitor, sebuah pakatan global yang berusaha ke arah memperkukuh masyarakat sivil dan kebebasan sivik di seluruh dunia, baru-baru ini yang melaporkan bahawa ruang sivik Malaysia semakin “terhalang” dan kerajaan terus gagal memberi perlindungan hak asasi manusia di negara sendiri.

CIVICUS Monitor juga menyatakan bahawa pelbagai undang-undang yang menindas di Malaysia, terutamanya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan, adalah menjijikkan manakala laman web dan blog berita kritikal terhadap kerajaan telah disekat oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, kegagalan menangani pelanggaran terhadap hak asasi manusia itu bukan sahaja menjejaskan tahap demokrasi di Malaysia malah turut mengancam hak dan maruah setiap rakyat negara ini.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan memperbaharui komitmennya terhadap hak asasi manusia dan memulakan jalan ke arah reformasi dan akauntabiliti tulen, seperti yang dilaungkan selama ini,” katanya.

Azril berkata, walaupun Malaysia merupakan ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keahliannya akan berakhir tahun ini, negara ini terus bergelut dengan pencabulan kebebasan awam yang serius dan ini menimbulkan kebimbangan pihak pemerhati dan aktivis global.

Tambah beliau, laman web dan blog berita kritikal secara rutin telah disekat dan penunjuk perasaan aman menghadapi gangguan dan tahanan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Advertisements

Katanya, semakan Berkala Sejagat (UPR) yang dijalankan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Januari 2024 dengan jelas mendedahkan bukti pencabulan besar yang melanda landskap hak asasi manusia Malaysia.

“Semasa penilaian komprehensif ini dijalankan, sejumlah 348 syor telah dikeluarkan, menekankan keperluan mendesak ke arah pembaharuan substantif bagi melindungi ruang sivik dan menegakkan kebebasan asasi di Malaysia,” katanya.

Antara saranan ini termasuklah gesaan agar Malaysia meratifikasi Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) sebagai satu langkah penting ke arah menyelaraskan rangka kerja perundangan negara dengan piawaian hak asasi manusia yang diiktiraf secara universal di peringkat global.

Ratifikasi ICCPR menandakan komitmen Malaysia untuk memastikan perlindungan kebebasan awam dan prinsip demokrasi di peringkat global, kata Azril.

Mekanisme UPR menekankan pentingnya untuk menyemak atau memansuhkan undang-undang yang terlalu menyekat kebebasan bersuara dan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Akta Hasutan terkenal sejak dahulu dalam menyekat perbezaan ideologi politik dan menghapuskan kritikan terhadap kerajaan. Peruntukannya yang luas dan kabur telah digunakan untuk menjenayahkan pelbagai aktiviti aman dan ini menjejaskan intipati kebebasan bersuara,” kata beliau.

Begitu juga dengan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), katanya, telah digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat dalam talian dan mengganggu pejuang hak asasi manusia.

Tambah beliau, Seksyen 233 CMA khususnya, telah digunakan untuk menghukum individu yang lantang bersuara dalam menyatakan pandangan berbeza, sekali gus ini melanggar hak asasi kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam instrumen hak asasi manusia antarabangsa.

Azril berkat,a gangguan dan penganiayaan yang dibuat terhadap individu yang disebabkan pandangan kritikal mereka melalui hantaran video atas talian serta kenyataan awam masing-masing hanya akan membangkitkan sentimen ketakutan dan kegusaran dalam kalangan rakyat, sekaligus menjejaskan semangat toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat demokratik dan pelbagai kaum di Malaysia.

“Oleh itu, adalah mustahak bagi kerajaan untuk menyahut seruan untuk melaksanakan pembaharuan dan menjalankan fungsi dan tanggungjawab antarabangsanya.

“Pihak berkuasa perlu segera menghentikan sebarang bentuk gangguan dan ugutan terhadap para aktivis, wartawan dan individu lain yang lantang bersuara mengenai hak-hak kemanusiaan untuk membantu mewujudkan persekitaran yang membolehkan penglibatan sivik dan kebebasan bersuara yang sihat di Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan