27.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Tiada pencemaran sulfur dari letusan gunung berapi Ruang – JAS

Mesti Baca

JABATAN Alam Sekitar (JAS) mengesahkan tiada peningkatan bacaan pencemar sulfur dioksida atau nitrogen dioksida daripada letusan gunung berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, kejadian itu juga tidak meningkatkan bacaan pencemar pepejal terampai, ozon dan karbon monoksida yang direkodkan.

Malahan menurut beliau, letusan gunung berapi Ruang pada 16 April lalu itu tidak menjejaskan kualiti udara di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Asap debu letusan tidak memberi kesan ketara kepada bacaan IPU stesen-stesen pengawasan kualiti udara di kedua-dua negeri tersebut.

“Tiada peningkatan bacaan pencemar pepejal terampai (PM2.5 dan PM10), sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Ozon (O3) dan Karbon Monoksida (CO) yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Wan Abdul Latiff berkata, sehingga pukul 10 malam tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan tiada stesen yang mencatat kualiti udara pada tahap tidak sihat.

Sebaliknya, kata beliau, 21 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 47 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Bagaimanapun, Wan Abdul Latiff berkata, JAS akan terus memantau bacaan IPU dari masa ke semasa dan bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web JAS di alamat http://apims.doe.gov.my.

Advertisements

Orang ramai juga boleh memantau bacaan IPU dengan memuat turun aplikasi MyIPU menerusi Google Play.

Kelmarin, sebanyak 214 penerbangan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak terpaksa dibatalkan susulan letusan gunung berapi di Pulau Ruang pada Selasa lalu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, pembatalan kesemua penerbangan itu menjejaskan seramai 33,864 penumpang yang keluar masuk dari dua negeri terbabit untuk tempoh dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu, susulan letusan berkenaan.

Letusan abu tebal dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitar termasuk Sabah, memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan sementara penerbangan.

Empat syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan Firefly terpaksa membatalkan kesemua penerbangan membabitkan dua negeri berkenaan.

Letusan itu yang memaksa beribu-ribu penduduk sekitar berpindah apabila lahar mengalir ke kampung mereka, mula mengeluarkan abu beberapa jam kemudian dan disusuli kepulan asap 400 meter di atas puncak.

Agensi volkanologi sebelum itu memberi amaran bahawa aktiviti gunung berapi di Ruang masih tinggi dengan potensi bahaya termasuk batu terbang, awan panas dan aliran lahar. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan