25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Tindakan MCA, MIC rugikan parti mereka sendiri – Wan Rosdy

Mesti Baca

TINDAKAN MCA dan MIC enggan turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada parti tersebut.

Sebaliknya, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tindakan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat yang diwakili.

Beliau berkata, walaupun menghormati keputusan yang dibuat, namun sebagai rakan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, mereka harus menerima apa jua keputusan untuk meletakkan siapa calon yang sesuai bertanding di kerusi tersebut.

“Dalam meraikan politik baharu yang lebih matang terutamanya selepas PRU-15, parti-parti komponen BN (Barisan Nasional) termasuk UMNO sekalipun harus menerima perubahan ini kerana kita telah bersetuju bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Formula kerjasama ini telah memberikan kita peluang lebih baik seperti mana kemenangan yang telah BN capai ketika PRK Pelangai dan juga Tioman,” kata beliau yang juga Menteri Besar Pahang dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap MIC dan MCA mempertimbangkan semula tindakan mereka itu agar kemenangan PRK kali ini terus kekal menjadi milik Kerajaan Perpaduan yang menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran negara ketika ini.

Advertisements

Beliau mengulas keputusan MCA tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan perpaduan bukan daripada BN, semalam.

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat menjelang PRK pada 11 Mei.

Sebelum ini Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, parti itu tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana tidak ditandingi calon BN.

Pakatan Harapan (PH) dijangka akan meletakkan calon daripada DAP dalam PRK tersebut memandangkan kerusi tersebut sebelum ini menjadi milik parti berkenaan.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat barah. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan