25.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 27, 2024

Jendela tunggal tingkat dagangan Malaysia-China – Anwar

Mesti Baca

MALAYSIA dan China hari ini bersetuju untuk mewujudkan kerjasama jendela tunggal (single window) bagi memudah cara dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tujuan itu kedua-dua negara bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama dalam Kerjasama Jendela Tunggal.

Beliau berkata, ini memberi ruang kepada kedua-dua negara berbincang dan mengkaji lebih mendalam pendekatan terbaik melaksanakan kerjasama jendela tunggal, terutamanya melalui inisiatif Jendela Tunggal Nasional yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Kerjasama jendela tunggal antara Malaysia dan China ini berkebolehan untuk meningkatkan kecekapan proses perdagangan rentas sempadan.

“(Ini boleh dilakukan) melalui pendigitalan proses kawal selia perdagangan, penghapusan keperluan mengemukakan dokumentasi lewah dan menggalakkan pertukaran maklumat yang lebih lancar serta tepat di antara pemegang taruh dan rakan dagang lain,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sebelum itu menerima lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Advertisements

Li Qiang berada di negara ini dalam rangka lawatan rasmi sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Anwar berkata, usaha untuk membangunkan kerjasama jendela tunggal itu juga menyantuni aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang menekankan transformasi digital dan memudah cara perniagaan bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

Kerjasama jendela tunggal itu telah ditandatangani bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan manakala China pula diwakili oleh Menteri Pentadbiran Am Kastam China, Yu Jianhua.

Perdagangan Malaysia dengan China pada suku pertama tahun ini mencatat kenaikan kepada RM112.28 bilion berbanding RM108.66 bilion pada tahun lalu.

Ini meliputi jumlah eksport dari Malaysia ke China sebanyak RM44.5 bilion dan import dari negara itu sebanyak RM67.78 bilion. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Arca Buddha di Bukit Choras lebih tua daripada Angkor Wat

PENEMUAN arca Buddha berbentuk manusia dari abad kelapan hingga kesembilan di kawasan Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah...

Lagi Artikel Berkaitan