26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, June 28, 2024

UMNO semua peringkat mesti bantu bumikan Dasar TVET Negara

Mesti Baca

UMNO di semua peringkat dimestikan mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan membumikan dan melaksanakan Dasar TVET Negara 2030, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian yang disediakan oleh 1,345 institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak-anak muda.

“Mesyuarat merasakan agenda TVET yang dipelopori oleh Presiden UMNO selaku Pengerusi Majlis TVET Negara merupakan satu inisiatif yang berimpak besar.

“(Ini) mampu membantu anak-anak muda yang punya potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela dan diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dasar TVET Negara 2030 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Jun lalu bertujuan menyelaraskan program TVET di Malaysia dengan dasar dan akta sedia ada.

Advertisements

Ini merangkumi Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Tinggi Nasional, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta MQA 679).

Pelaksanaan dasar tersebut akan berpandukan kepada lima teras berserta 23 strategi yang akan digunakan oleh kesemua 12 buah kementerian yang terlibat dengan bidang TVET termasuklah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, pada mesyuarat itu juga UMNO menghargai kerajaan kerana menyahut cadangan parti itu untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig.

“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui Majlis TVET Negara,” katanya.

Berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, beliau berkata, UMNO akan menggerakkan sepenuhnya jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti kerajaan Perpaduan.

Untuk itu, beliau memberitahu, UMNO telah menamakan Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abdul Kadir selaku Pengarah Pilhan Raya Barisan Nasional (BN) Sungai Bakap, Datuk Musa Sheikh Fadzir selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Ketua War Room PRK Sungai Bakap.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat juga bersetuju Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos 2024. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

TMJ ‘panas’ hukuman Selangor FC diringankan sebelum rayuan

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ‘panas’ apabila Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan meringankan hukuman yang dikenakan terhadap...

Lagi Artikel Berkaitan