33.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 3, 2024

Pemandu mabuk langgar atlet kayak negara diikat jamin RM8,000

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SEORANG pembantu penyelia kilang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias pada Sabtu lalu.

Tertuduh, R. Dhinesh, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Dhinesh didakwa memandu Toyota Vios dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 178 miligram/100 milimeter, 50 miligram melebihi daripada had ditetapkan iaitu 128 miligram/100 milimeter.

Siti Nurul Masyitah tidak sedarkan diri selama beberapa hari selepas kereta yang dipandu tertuduh merempuh dan mengheretnya sejauh kira-kira 600 meter.

Dhinesh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di sini jam 4.19 petang pada 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1a) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama akta berkenaan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana gajinya sebagai pembantu penyelia kilang tidak sampai RM2,000 sebulan.

Advertisements

“Saya tidak ada RM20,000 dan tidak mampu bayar jaminan tinggi kerana kerja jaga stor kilang sahaja. Saya juga perlu tanggung ayah selepas kematian ibu,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.

Majistret kemudian tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, lesen memandunya digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali.

Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

UtusanTV sebelum ini melaporkan, kemalangan berlaku ketika kereta dipandu suspek merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang.

Suspek dipercayai mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa.

Siti Nurul Masyitah kini dilaporkan masih dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri di sini manakala tertuduh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan mendapati suspek memiliki tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah.

Advertisements

Terkini

Troopers, KWSP jalin persefahaman mudahkan pekerja gig mencarum

 TROOPERS Innovation Sdn Bhd, platform padanan pekerjaan fleksibel utama Malaysia, dengan bangganya mengumumkan kerjasama penting dengan Kumpulan Wang Simpanan...

Lagi Artikel Berkaitan