25.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 30, 2024

80,000 rayuan haji diterima setiap tahun – Mohd Na’im

Mesti Baca

LEMBAGA Tabung Haji menerima sekitar 80,000 rayuan daripada jemaah yang berada di luar giliran untuk mengerjakan ibadah haji setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah yang membuat rayuan itu juga sanggup membuat bayaran penuh tanpa mengambil Bantuan Kewangan Haji.

Bagaimanapun menurut beliau, pendaftaran haji dan jemaah yang akan dipilih apabila tiba giliran tahun yang diperuntukkan kepada mereka berdasarkan prinsip mendaftar dahulu akan didahulukan.

Beliau berkata, sistem pendaftaran terbuka itu telah diterima pakai sejak tahun 1995 lagi.

Jelasnya, semua pendeposit yang telah mendaftar haji boleh mendapat maklumat tahun jangkaan giliran mereka untuk menunaikan haji melalui aplikasi digital THiJARI.

“Pada setiap tahun, kuota rakyat Malaysia adalah tertakluk kepada kuota rasmi yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi berdasarkan keputusan Mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Islam Sedunia (OIC) pada tahun 1988 di Amman, Jordan yang menetapkan kuota haji pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara Islam.

“Justeru, kuota rasmi negara pada musim haji 1445/2024M adalah seramai 31,600 orang jemaah.

“Kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif dengan membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah tersebut berdasarkan perangkaan penduduk terkini negara.

Advertisements

“Di samping itu, kerajaan turut memohon kuota tambahan setiap tahun, namun permohonan kajian semula kuota tahunan dan pemberian kuota tambahan adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Rahman bertanyakan sama ada Tabung Haji mempunyai perancangan untuk mengemas kini tahun untuk menunaikan haji bagi setiap warganegara yang berdaftar yang layak menunaikan haji melalui aplikasi THiJARI memandangkan tahun kelayakan untuk menunaikan haji terkini sudah melebihi tahun 2100.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Kerajaan Arab Saudi juga sedang merancang untuk meningkatkan jumlah jemaah haji kepada lima juta orang menjelang tahun 2030 berbanding dua juta orang ketika ini.

Sehubungan itu, katanya, peningkatan jumlah jemaah haji negara dijangka memberi kesan positif kepada tempoh giliran.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, Tabung Haji juga mengambil pendekatan untuk mengemaskini sistem giliran secara berkala sebagai usaha penambahbaikan berterusan.

“Tabung Haji sentiasa menjelaskan konsep istito’ah iaitu kemampuan mengerjakan haji daripada segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran pihak berkuasa yakni termasuk dalam giliran kuota rasmi.

“Tabung Haji juga telah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat melalui media, media sosial dan sesi libat urus tentang kepentingan konsep kemampuan atau istito’ah,” jelasnya.

Advertisements

Terkini

CEO KRH, Zainal Azni dilantik sebagai Ketua Pengarah RISDA

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn Bhd (KRH), Zainal Azni Zulkifli telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa...

Lagi Artikel Berkaitan