25.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 30, 2024

Amni kecewa masih ramai pelajar ada persepsi buruk aliran sains

Mesti Baca

“SAYA terkesan apabila terbaca data Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu seramai 300,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Dan lebih memilukan apabila hanya 15 peratus pelajar memilih aliran sains ketika naik ke tingkatan empat di sekolah.

“Jika beginilah senarionya, mana mungkin negara kita berharap untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2030?” kata gadis di tahun akhir jurusan kaunseling Universiti Malaya (UM) ini.

Amni Sahira Muhammad Azam, 25, sememangnya lantang mengeluarkan pendapat apabila perbualan berkisar mengenai kepentingan pendidikan dan hala tuju kerjaya belia pada masa hadapan.

“Sebagai bekas pelajar aliran sains, saya secara peribadi berasa kecewa kerana ramai di kalangan pelajar sekolah masih mempunyai persepsi negatif terhadap subjek-subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi, dan Matematik yang dikatakan sukar.

Amni Sahira (kiri) aktif dalam berpesatuan di dalam dan luar kampus.

“Walaupun saya tidak nafikan terdapatnya cabaran mengikuti subjek-subjek tersebut, namun manfaat yang boleh dinikmati pelajar setelah mengikuti subjek-subjek STEM ini melebihi segala kesukaran yang dilalui.

“Antara contoh yang paling jelas adalah keluasan peluang memilih bidang pengajian yang boleh kita ikuti selepas menduduki SPM, terutamanya dengan mengambil Matematik.

“Saya sendiri contohnya, amat bersyukur kerana mampu mengikuti pengajian jurusan saya di peringkat diploma dan ijazah dengan lancar, hasil pendidikan di dalam aliran sains di sekolah dahulu,” katanya yang mesra dipanggil Amni.

Bagi pelajar yang ‘menggeruni’ aliran sains dan keengganan majoriti daripada mereka menyambung pengajian pasca SPM, Amni berpesan supaya kita merenung kata-kata dari Imam Syafie:

“Jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar, maka kamu harus sanggup menahan peritnya kebodohan”.

Amni percaya setiap daripada kita dijadikan Tuhan untuk berperanan membantu masyarakat dalam apa juga ruang dan peluang yang ada, berpandukan kemahiran yang dikurniakan.

Gemar aktiviti lasak

Dia pasti peluang mendapatkan kemahiran yang bersesuaian itu adalah dengan jalan menimba ilmu setinggi mungkin.

“Laluan ini akan terbuka lebih luas, dengan pilihan yang pelbagai, jika kita mempunyai latar belakang pendidikan STEM di peringkat sekolah,” pesan Amni.

Mengenai kerjayanya selepas tamat pengajian nanti, anak kelahiran Alor Setar, Kedah menjadikan guru kaunselingnya di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah sebagai suri teladan yang membuka matanya terhadap potensi kerjaya di dalam bidang kaunseling.

“Melalui beliaulah saya mula mengintai peluang dan meneroka sebuah cita-cita baharu sebagai seorang kaunselor.

“Ditambah dengan naluri ingin tahu yang tinggi, selain sentiasa inginkan cabaran di dalam hidup, saya mula teruja dengan bidang ini. Saya juga bersyukur hasrat ke bidang kaunseling ini turut disokong penuh oleh ibu dan bapa.

Advertisements

“Tambahan pula, saya difahamkan bidang kerjaya ini sangat fleksibel dan membenarkan saya bertugas sebagai seorang kaunselor berdaftar di pelbagai jenis industri kelak,” kata anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.

Selain sifat semulajadinya yang sentiasa mencari ruang untuk mencabar diri sendiri, Amni turut mempamerkan sifat kepimpinannya pada setiap peluang yang ada, baik di bangku sekolah mahu pun di universiti.

Penggemar laksa utara dan nasi kandar ini pernah menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa di Universitas Serambi Mekah dan Universitas Airlangga di Indonesia.

Dia juga aktif dalam persatuan pelajar di peringkat fakulti dan universiti dengan bergiat aktif dalam Persatuan Mahasiswa Kedah (Permadah), Persatuan Kaunseling Universiti Malaya (Perkum), dan Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum).

“Sebagaimana mahasiswa lain, saya juga tidak ingin melepaskan peluang untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman demi menggilap potensi diri sebelum bergelar graduan kelak, dengan menyertai sebanyak mungkin program dan platform yang ada di kampus.

“Namun pelajaran tetap menjadi keutamaan, dan alhamdulillah saya masih mengekalkan prestasi yang baik dan dibuktikan dengan menjadi penerima Anugerah Dekan pada setiap semester pengajian,” kata Amni.

Tambahnya, pengalaman paling manis ialah apabila berpeluang berkongsi dapatan kajiannya berkaitan personaliti dan efikasi kendiri di sebuah persidangan antarabangsa di Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang, Indonesia.

“Mungkin untuk sesetengah mahasiswa tidak merasakan keperluan untuk menjadi seorang pembentang di persidangan antarabangsa sebegini, namun untuk saya ia adalah sebuah peluang yang tidak seharusnya dipersiakan, terutamanya dalam membina jaringan sosial.

“Tambahan pula saya sememangnya meminati bidang pengucapan awam dan
pengacaraan, jadi peluang untuk bercakap di hadapan orang ramai adalah sesuatu yang amat saya nanti-nantikan,” katanya.

Maka tidak hairanlah apabila diberi peluang untuk berkongsi pendapatnya mengenai karakter narsistik di dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM baru-baru ini bersama rakan karibnya, dia terus bersetuju.

Ketika menjadi ahli panel dalam satu forum antarabangsa di Indonesia.

“Bukan mudah peluang sebegini didapati untuk seorang mahasiswa seperti saya berkongsi pendapat di sebuah platform media massa yang ditonton oleh khalayak dari seluruh negara.

“Tambahan pula topik yang diberi merupakan sesuatu yang dekat dengan hati saya sebagai seorang bakal kaunselor berdaftar kelak,” katanya yang bakal menamatkan pengajiannya di UM pada Julai nanti.

Menariknya, sosok yang kelihatan mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi berserta minatnya dalam akademik dan aktiviti luar dewan kuliah, rupanya turut mempunyai sisi seni yang halus.

“Walaupun tidak mahir melukis, namun saya sedang berjinak-jinak dalam menghasilkan coffee art. Minat ini timbul apabila saya bekerja separuh masa di kafe yang menghidangkan minuman kopi yang
pelbagai jenis.

Coffee art ini walaupun kelihatan ringkas, namun memerlukan ketekunan dan fokus yang tinggi ketika menghasilkannya. Buat masa ini saya sudah mampu menghasilkan beberapa bentuk bunga untuk hidangan cafe latte,” kata Amni.

Advertisements

Terkini

CEO KRH, Zainal Azni dilantik sebagai Ketua Pengarah RISDA

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn Bhd (KRH), Zainal Azni Zulkifli telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa...

Lagi Artikel Berkaitan