25.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 27, 2024

Bozetta, ‘road bike’ pertama nasional diuji di Silverstone, UK

Mesti Baca

BASIKAL lebuh raya (road bike) nasional pertama yang dibangunkan Bozetta Bike Malaysia Sdn Bhd, Bozetta FZ8 telah dihantar ke Silverstone Engineering Hub di United Kingdom bagi menjalani ujian aerodinamik baru-baru ini.

Ujian prototaip basikal tersebut menggunakan terowong angin itu turut mendapat sokongan dan kerjasama Institut Sukan Malaysia (ISN).

Menurut Pakar Pergerakan Bendalir (CFD), Dr Aid Fawzal, basikal yang terlalu tinggi rintangan angin memerlukan lebih banyak tenaga pada setiap kayuhan dan itu amat meletihkan.

Sehubungan itu, jelas beliau, kajian aerodinamik untuk ‘road bike’ (basikal lebuh raya) sangat penting bagi memastikan ia memenuhi ciri-ciri yang diinginkan oleh penunggangnya.

“Hasil ujian tempoh hari sangat memberangsangkan. Dengan berani dan yakin untuk saya katakan data-data aerodinamik Bozetta FZ8 menunjukkan bahawa basikal yang baru sahaja dibangunkan kurang dua tahun ini mampu setanding basikal-basikal ‘road bike’ yang lain dalam pasaran pada sudut potong-anginnya,” kongsinya menerusi Facebook beliau hari ini.

John Beasley (tiga kanan) turut menyaksikan ujian aerodinamik Bozetta FZ8 di Silverstone Engineering Hub di UK baru-baru ini. – Foto: Dr Aid Fawzal

Hadir sama dalam ujian tersebut ialah Pengasas yang juga Ketua Reka Bentuk Bozetta, Bostami Ahmad; Ketua Pegawai Teknologi Bozetta, Fadzli Rahim dan Ketua Jurulatih Lumba Basikal Kebangsaan, John Beasley.

Advertisements

Aid Fawzal berkata, Bozetta FZ8 sangat unik kerana ia diinspirasikan daripada basikal Velodrom Olimpik, WX-R.

“Dengan itu pembinaan kerangkanya adalah daripada gentian karbon gred tinggi dengan penggunaan komposit yang berbeza-beza pada setiap sudut kritikal.

“Ini bertujuan supaya memastikan kekakuan (stiffness) kerangka berbanding ketegaran (rigidity) dapat diseimbangkan.

“Dengan itu, basikal FZ8 mampu memberikan komunikasi yang baik antara penunggang dengan basikal serta tetap mengekalkan daya pada setiap kayuhan sampai terus ke permukaan jalan,” katanya.

Aid Fawzal berkata, selain rasa (feeling) dan maklum-balas (feedback) antara penunggang dengan basikal, kemampuan basikal untuk membelah angin juga penting.

Sebab itu katanya, ujian aerodinamik tersebut sangat penting. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Arca Buddha di Bukit Choras lebih tua daripada Angkor Wat

PENEMUAN arca Buddha berbentuk manusia dari abad kelapan hingga kesembilan di kawasan Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah...

Lagi Artikel Berkaitan