26.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 4, 2024

Isu cinta pertama Nabi Muhammad: RTM ‘rehatkan’ Ustaz Don

Mesti Baca

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) merehatkan penceramah dan pendakwah popular, Don Daniyal Don Biyajid daripada program Salam Baitullah.

Langkah itu susulan daripada kenyataan kontroversi pendakwah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Don itu berhubung kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, tindakan tersebut diambil bagi meredakan keadaan setelah ramai pihak mengkritik kenyataan Don Daniyal.

“Untuk meredakan keadaan, saya telah meminta mereka untuk merehatkan dahulu Ustaz Don Daniyal dari Salam Baitullah.

“Jangan tanya apa yang saya fikir atau rasa. Terkelu,” katanya menerusi platform X hari ini.

Sebelum ini, Don Daniyal ketika bersiaran di sebuah stesen radio mendakwa Nabi Muhammad SAW pernah melamar seorang wanita yang dikenali sebagai Ummu Hani’ sebanyak tiga kali.

Don Daniyal yang juga seorang pensyarah turut mendakwa Ummu Hani’ merupakan cinta pertama Rasulullah SAW.

Advertisements

Begitupu , Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam hantaran di media sosial semalam menafikan dakwaan tersebut.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kisah berkenaan Nabi Muhammad SAW pernah melamar Ummu Hani’ namun ditolak adalah benar.

Begitupun, ia hanya berlaku sekali sahaja iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah, sewaktu wanita tersebut baru memeluk Islam, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.

“Adapun bagi dakwaan dua lamaran yang berlaku sebelum Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran. 

“Seterusnya, menyatakan first love (cinta pertama) Nabi Muhammad SAW iaitu Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar. 

“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihati agar berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara yang berkait dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 

“Hal yang demikian supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendustakan Baginda SAW,” kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman web rasmi jabatan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UEFA aktif pantau penderaan maya sepanjang EURO 2024

PERSATUAN Bola Sepak Kesatuan Eropah (UEFA) secara aktif memantau penderaan maya melalui 622 platform media sosial sepanjang kejohanan EURO...

Lagi Artikel Berkaitan