31.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 2, 2024

Konsep ‘Beli Dahulu Bayar Kemudian’ galak rakyat berhutang

Mesti Baca

Oleh DR NURUL ASHIKIN ALIAS

TREND semasa perniagaan di platform e-dagang mengalami perubahan pantas dan lebih mendapat sambutan sejak berlakunya pandemik COVID-19.

Sebelum wujud era e-dagang, kaedah pembelian dilakukan secara konvensional iaitu pengguna perlu ke kedai secara fizikal dan membeli untuk mendapatkan barang yang dikehendaki.

Namun kini, terdapat pelbagai platform e-dagang yang ada di pasaran antaranya Shopee, Lazada, Ebay, Etsy dan pelbagai lagi yang saling bersaing antara satu sama lain.

Bagi menarik pengguna menggunakan platform mereka, pelbagai strategi pemasaran dan perniagaan yang telah dilakukan.

Antara strategi perniagaan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan kaedah Buy Now Pay Later (BNPL) atau Beli Dahulu Bayar Kemudian.

person holding smartphone beside tablet computer
Photo by Blake Wisz on Unsplash

Melalui kaedah ini pengguna boleh membeli barangan dan membayar pada bulan berikutnya atau setelah barang tersebut telah diterima.

Pembayarannya pula boleh dilakukan sama ada secara keseluruhan atau ansuran.

Kaedah sistem pembayaran BNPL telah pun diterima pakai secara meluas di Eropah untuk tempoh yang agak lama.

Bagaimanapun, ia telah mula berkembang di pasaran Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai salah satu penyelesaian pembelian dalam talian.

Melalui konsep BNPL juga telah membuktikan bahawa ‘kad kredit’ mampu ditemui di mana-mana sahaja tanpa memerlukan memilikinya secara fizikal.

Perkara yang membezakan pemilik kad kredit dan pengguna BNPL adalah bagi memiliki kad kredit seseorang individu perlu mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang stabil bagi memboleh pihak bank mengeluarkan kad untuk pengguna.

Berlainan pula dengan kaedah kredit pembayaran BNPL di mana hampir semua dapat menggunakannya tanpa mengambil kira status pendapatan.

Sama ada pengguna tersebut seoranh pelajar kolej, surirumah, penganggur bahkan remaja yang mempunyai pengetahuan digital memanfaatkannya.

Konsep BNPL sekiranya dilihat pada permukaan dapat dinilai sebagai suatu kaedah yang mampu membantu pelanggan-pelanggan berpotensi yang berada dalam pasaran untuk mendapatkan barang-barang keperluan.

Namun, tanpa sedar pada hakikatnya BNPL merupakan salah satu perangkap halus kewangan yang mampu membuatkan pengguna berdepan krisis kewangan lebih besar secara perlahan-lahan.

Kebiasaannya keadaan sudah terlambat ketika individu tersebut menyedari krisis kewangan yang berlaku.

Jika dilihat dari kedua-dua perspektif, kaedah BNPL ini mempunyai kebaikan dan keburukan bergantung kepada bagaimana seseorang individu itu menggunakan menggunakannya.

Advertisements

Dari sudut positif kaedah pembayaran BNPL memberikan beberapa kelebihan kepada pengguna seperti melibatkan proses permohonan yang mudah dan cepat kerana tidak memerlukan semakan kelayakan spesifik (tiada had umur, tiada kelayakan khusus, dan tidak memerlukan kelayakan skor kredit).

Keadaan ini akan memudahkan urusan pembelian mengejut di pihak pelanggan disebabkan tiada faedah atau faedah yang lebih rendah dikenakan berbanding kad kredit.

Namun di sebalik kelebihan, kaedah BNPL juga mempunyai keburukannya iaitu akan menggalakkan pengguna melaksanakan perbelanjaan yang bersifat impulsif sehingga mengakibatkan perbelanjaan berlebihan daripada kapasiti kewangan.

Hal ini kerana individu tersebut akan merasakan bahawa dia masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kapasiti hutangnya.

Ini disebabkan oleh jumlah hutang yang telah dipecahkan kepada nilai-nilai yang lebih kecil untuk satu tempoh sehingga merasakan mereka masih mampu untuk menampung hutang kewangan yang lain.

Padahal pada hakikatnya nisbah kewangan terhadap jumlah pendapatan semakin meningkat.

Man hand open an empty wallet with copy space
Photo by Towfiqu barbhuiya on Unsplash

Menurut saranan yang diberikan oleh AKPK, juga nisbah hutang kepada pendapatan yang berada dalam kategori baik adalah 45 peratus dan ke bawah.

Selain itu, melalui kaedah BNPL ini juga sekiranya pembayaran lewat atau gagal melakukan pembayaran kembali akan mengakibatkan yuran lewat dan caj tambahan akan dikenakan.

Selain itu turut akan menjejaskan nilai kredit skor seseorang individu.

Kesimpulannya, adalah penting untuk setiap individu sentiasa melengkapkan diri agar mampu menjadi pembeli yang bijak dan berhemat sebelum memasuki pasaran.

Kita tidak boleh menyalahkan atau menghalang sesebuah syarikat dari melaksanakan strategi perniagaan dan pemasaran bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Namun, kita sebagai seorang pengguna seharusnya lebih ‘bijak’ dalam bertindak dan menggunakan sebarang kemudahan yang telah disediakan.

Bijak dalam erti kata di sini adalah anda perlu menjadi seorang pengguna yang mempunyai ilmu kewangan yang sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

Selain itu, anda juga perlu sentiasa memastikan emosi anda sentiasa dalam keadaan terkawal dan stabil ketika menguruskan kewangan anda.

Hanya dengan ilmu pengetahuan dan emosi yang stabil sahaja akan memastikan anda mampu menjadi pembeli yang bijak dan berhemat.


Penulis adalah Felo Penyelidik, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.

Advertisements

Terkini

Presto perluas program kesetiaan dengan PLUSMiles

PRESTO, Pengagregat E-dagang Kesetiaan Pertama dan Terbesar di Malaysia, mengumumkan kerjasama baharu dengan PLUSMiles, program ganjaran terbesar Malaysia untuk...

Lagi Artikel Berkaitan