27.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 30, 2024

Malaysia kini boleh eksport durian segar ke China – Mat Sabu

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PARA pengusaha durian di negara ini kini boleh mengekport Raja Buah itu ke China dalam bentuk segar, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ia susulan langkah Malaysia memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar ke negara itu.

Mohamad berkata, protokol itu dimeterai oleh beliau sendiri bersama Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC), Yu Jianhua di Putrajaya hari ini.

Dokumen Protokol tersebut, katanya, diserah terima antara beliau dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan (MoA) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang.

“Melalui pemeteraian ini, luang pasaran eksport baharu bagi buah durian segar dari Malaysia ke negara China telah dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, sebelum ini, Malaysia telah diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018.

Katanya, tambahan akses durian segar itu akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.

Advertisements

Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion.

“Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan yang bernilai RM2.01 bilion,” katanya.

Mohamad berkata, China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022.

Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.

“KPKM yakin pelaksanaan protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63,000 pengusaha durian di seluruh negara.

“Melalui protokol ini juga, pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada GACC berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam protokol tersebut dibenarkan untuk mengeksport buah durian segar ke negara China,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

CEO KRH, Zainal Azni dilantik sebagai Ketua Pengarah RISDA

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn Bhd (KRH), Zainal Azni Zulkifli telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa...

Lagi Artikel Berkaitan