32.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 30, 2024

Selangor FC belum buat rayuan, MFL sudah kurangkan hukuman

Mesti Baca

BELUM pun rayuan dibuat, sudah dapat ‘diskaun’. Itu yang dialami oleh Selangor FC (SFC) apabila hukuman yang dikenakan terhadap mereka telah diberi pengurangan oleh Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL).

Pun begitu, SFC tetap mengambil maklum berhubung pertimbangan semula keputusan yang dibuat oleh MFL tersebut berkenaan ketidakhadiran mereka dalam aksi Piala Sumbangsih tempoh hari.

“Untuk makluman, SFC masih belum memfailkan sebarang rayuan kepada MFL. Pihak kelab akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang telah dipertimbangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berlandaskan peraturan-peraturan yang berkaitan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan petang ini.

Sebelum itu MFL memutuskan untuk mengurangkan hukuman terhadap SFC kerana tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih di Johor pada 10 Mei lepas.

Dalam kenyataan hari ini, MFL berkata ahli Lembaga pengarah “menggunakan budi bicara” untuk membuat keputusan itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut MFL, denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

Advertisements

MFL turut membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan,” kata MFL.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat murka dengan keputusan MFL berhubung kes ketidakhadiran SFC dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Takzim (JDT) itu.

Baginda menganggap MFL sebagai sebuah organisasi yang tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Pada masa yang sama baginda juga menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin langsung tidak serius bersuara berhubung isu tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Konsep ‘Beli Dahulu Bayar Kemudian’ galak rakyat berhutang

Oleh DR NURUL ASHIKIN ALIAS TREND semasa perniagaan di platform e-dagang mengalami perubahan pantas dan lebih mendapat sambutan sejak berlakunya...

Lagi Artikel Berkaitan