27.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 2, 2024

Tambahan RM200 juta perhebat lagi bidang TVET – Anwar

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperhebatkan lagi bidang latihan dan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, ini bagi membiayai para pelajar dalam bidang kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), bahan termaju, mekanisasi ladang, automasi pertanian dan penternakan sekali gus menarik lebih ramai golongan belia memasuki TVET.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ia juga memberi peluang kepada institusi TVET mewujudkan lebih banyak segmen khususnya kepada masyarakat golongan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli serta orang asal di Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya bidang TVET di negara ini dapat diangkat dan digembleng dalam sektor pembelajaran bermula di peringkat sekolah sehinggalah institusi pendidikan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Selangor.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Pertukaran MOC antara kerajaan dan pihak industri berkaitan latihan TVET.

Anwar berkata, beliau berharap industri TVET negara melakukan anjakan segera seiring peruntukan besar yang disediakan dan tumpuan khusus yang diberikan kerajaan terhadap pendidikan bidang tersebut.

Advertisements

Sempena majlis itu, beliau turut menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) di antara kerajaan dengan enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta berkaitan latihan.

Ini termasuk Advance Retro Solution Sdn Bhd, Robert Bosch Sdn Bhd, SIRIM Bhd, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, UEM Group Berhad dan UOA Development Berhad.

Selain itu, tiga lagi sesi pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) di antara Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) dengan UniKL, GITC dengan FANUC (MIT Automation) dan GITC dengan Boomslang Technology Sdn Bhd.

“Skop kerjasama di antara Kerajaan dan GITC dengan GLC dan syarikat swasta ini merangkumi sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, pembangunan kokurikulum dan bahan latihan sumbangan khidmat kepakaran dan pembangunan kompetensi tenaga pengajar dan pembiayaan program latihan,” katanya.

Anwar berkata, pemeteraian MOC itu berkonsepkan payung kerjasama untuk terus menjadi penghubung yang dapat dimanfaatkan oleh institusi TVET di Malaysia merentasi 12 Kementerian berkaitan TVET dalam membuka ruang kerjasama yang lebih erat bersama pihak industri.

“Insya-Allah, saya akan berusaha dalam memastikan segala usaha Kerajaan MADANI serta semua pihak dalam menjayakan dasar, projek, program dan inisiatif berkaitan TVET ini dapat terus diperhebat.

“Saya juga berharap lebih banyak usahasama dari pihak swasta dari dalam dan dari luar negara dapat bersama dalam jalur ini demi anak-anak dan generasi penerus di Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Presto perluas program kesetiaan dengan PLUSMiles

PRESTO, Pengagregat E-dagang Kesetiaan Pertama dan Terbesar di Malaysia, mengumumkan kerjasama baharu dengan PLUSMiles, program ganjaran terbesar Malaysia untuk...

Lagi Artikel Berkaitan